Thursday, September 24, 2009

~ Kullu 'Amun Wa antum Bikhaer.. ~

Bismillahir Rahmaanir Raahiim..

Alhamdulillah atas segala kurniaanNya.. Masih lagi diberi secebis kudrat dan usia.. Semoga dengan umur yang panjang ni, dapat lagi untuk kita sama-sama mengunakan nikmatNya sebaik yang mungkin dalam membina taqwa kepadaNya... (Ya, Rahman panjangkanlah usia kami dan tetapkan umur kami dalam mentaatiMu dan rasulMu.. Allahumma amein..)

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan dan peluang yang ada untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI.. Hehe, rasanya tak terlambat untuk saya ucapkan... sekalipun dah masuk syawal yang ke-lima.. ^_^. Raya kan sebulan.. (ye ke raya sebulan..??? kikikiki) Nway, semoga Ramadhan yang pergi, sentiasa dinanti dan dirindui.. Dan semoga syawal kali ini, adalah syawal yang terindah.. Mudah-mudahan ukhwah yang terputus terjalin semula.. yang jauh, hati tetap terasa bersama...sedikitpun tiada gelisah.. yang dekat bertambah erat dan mesra.. Aduhai, Indahnya Ukhwah kerana Allah... (^_^)


Akhir bicara, mohon kemaafan atas segala khilaf, terkasar bahasa dan laku samada yang sengaja mahupun tanpa disengajakan.. (Aku insan biasa..uhhuhu yang ingin menjadi luar biasa dari kebiasaan yang biasa.. ^_^. camne tuh? ^_^) . Halalkan makan minum ya... 0-0. ^_^

Thursday, September 17, 2009

PENANTIAN...

Terasa cemas di hati, tatkala menanti sendiri… hati diasak monolog sepi... “bila la bas ni nak mai, lama dah tunggu ni.. adoii” jenuh juga asyik melontar tanya, jawapan plak tak kunjung tiba..

“Ahh... mungkin bas lambat sampai, jammed kot. xpo la, Sobr3x.. Allah nak didik ni jadi penyabar. Kan ustazah pesan, semua apa yang berlaku tu ada hikmahnya. Mungkin Allah bagi bas lambat sampai untuk keselamatan diri. Manalah tahu, sekalipun bas awal sampai, tapi rosak di tengah jalan. Ha, sapa susah. Diri sendiri juga susah. Keluarga pun susah.. semua la susah..” cuba ku buang jauh resah yang mula bertamu. Alhamdulillah, Allahur Ar Rahman, Aku senyum sendiri. Memang menjadi kebiasaanku bercerita dengan diri sendiri.. (Dalam hatilah kan, kalo suara ’keluar’ plak kang, nt orang kata gila..uhuhuhu ^_^)

Dalam beberapa ketika, bas yang di nanti pun tiba.. Dari jauh, pemandu itu melihatku. Penglihatannya jauh di dasar hati, bukan pada penampilan luaranku tetapi pada peribadiku melalui seseorang yang ku kenali. Entah, apa yang difikirkan pemandu tu. Apapun yang difikirkannya, hanya satu yang ku harap.. Moga pemandu itulah yang akan menghantar aku ke destinasi. Sekalipun tidak sampai di tempat yang betul-betul menjadi tujuanku, asal dia berusaha untuk membawa ku lebih dekat pada destinasi matlamatku, itu sudah mencukupi.. Alhamdulillah...

Ku kerling pemandu bas.. Sekali pandang, hati ku dapat merasakan dia boleh dipercayai. Dari raut wajahnya, ada sakinah bertapak di situ sekalipun cahaya nurnya tak secerah yang ku harap..

“Adeih, apalah aku ni, tu pun nak demand. Astagfirullah.. ish3, tu dah kira oklah tu.. ada juga orang yang nak bawa ko p.”.. Cepat-cepat ku ingatkan diri..

Pemandu bas yang agak segak pada pandanganku tersenyum memandangku..Entah apa yang buat dia tersenyum. Ku intai penampilanku hari itu.. “Erm, okeh je baju ni.. Tutup aurat.. Comel lagi.. kikiki ^_^” Hatiku berbisik.

“Naiklah.. awak je ni yang saya nak amik. Kalo awak tak sudi nak naik, saya cari penumpang lain.”.. Tawaran terakhir diutara...

Bismillahil lazi soqqhorolana haza wama kunna lahu muqrinin. Wa inna ila rabbina lamunq qolibun”.. Kakiku mula melangkah masuk. “Em, nampaknya belum ada penumpang. Mungkin aku jer penumpangnya. Mudah-mudahan selamat dia memanduku ke destinasiku. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami dan peliharalah kami dari segala kejahatan. Allahumma amein”.


Tiba-tiba, pedal brek separuh kecemasan ditekan. Bas pun berhenti.
“Awak, saya minta maaf, saya tak dapat nak antar awak.. saya rasa, saya tak sesuai nak bawa awak sama pi sana.. Sebenarnya, saya dah ada penumpang lain. Penumpang tu dah jadi penumpang saya selamanya sejak dua bulan yang lalu.” Bicara si pemandu.

Kedebomm!! Bagai bunyi barang berat jatuh ke bawah.. Terkejut dan segala ketenangan berterbangan.. Hilang harapan yang mula terkumpul.. Ku harap panas sampai ke malam.. rupanya tak sampai-sampai juga.. punah segala impianku. Seakan destinasiku semakin jauh dari tempatku.. (memanglah kan, malam mana ada matahari, kuikuikui^_^)

“Akhirnya, mulai hari itu.. bermulalah semula penantianku.. entahlah, bila lagi bas yang seterusnya akan tiba. Yang pasti, aku tetap akan sentiasa menanti dengan setia. Aku tidak berharap pada pemandu bas itu lagi, kerana bagiku cukuplah tibanya sebagai ujian bagiku.. (uhuhuhu, ajak orang nek, pastu suh turun balik.. Kalo dalam bab JPJ ni, ni masuk kes pemandu tak beretika.. Hehe, nak geram sikit kat pemandu tuh.. kikikiiki)... Papun, aku yakin bas yang akan datang ni lebih baik dari bas sebelumnya. Dan sebelum aku mengharapkan agar bas yang akan tiba adalah yang terbaik untukku.. aku kenalah berubah jadikan diriku lebih baik dari sebelum ni. Bukan bermaksud penampilan ku perlu diubah. Biarlah dianggap kuno oleh sesetengah pemandu bas, dianggap tiada gaya langsung dan dianggap kurang sempurna dipandangan mata.. Yang penting perubahan rohani ku perlu diupdate lagi. Iman perlu ditingkatkan.. Biarlah apa orang kata dan nilai, asalkan tuanku suka dengan apa yang ku cuba usahakan. Manalah tahu kalau suatu hari nanti tuanku ingin berjumpa denganku, ada jugalah yang ’baik’ sebagai ku persembahkan nanti. Aku harap semoga tuanku terima diriku dengan ‘senyuman keredhaan'. Ya, benarlah juga, Ramadhan bulan ujian.. Inilah antara ujian buatku... ujian hati. Mudah-mudahan apa yang terjadi, memberikan aku kekuatan untuk kuat dan tabah.. Mudah-mudahan perginya Ramadhan meniggalkan diriku yang lalu.. dan yang muncul diriku yang baru.. Aku akan berubah untuk jadi lebih baik.. Moga dengan Rahmat dan RahimNya, tuanku akan permudahkan niat ini..” Azamku menyuntik semangat yang semakin sirna.



Pengajaran yang dapat dihayati..

1- Jalan ceritanya sederhana. Tidak banyak sentuhan perasaan. Maksud saya, antara si pemandu bas dah si penumpang tidak lama bersama. Masih lagi boleh dikatakan tidak saling mengenali. Maka, sebagai penumpang.. tidak seharusnya dia terlalu yakin dengan apa yang dinilainya. Biasalah, zaman sekarang ni lebih banyak ’antu’ dari manusia.. hihihih.. kejam plak kenyataan ni..

2- Dalam cerita ni, seolah penumpang adalah seorang yang sentiasa berfikir. Berfikir, berfikir dan berfikir pada sesuatu yang diluar daya akalnya iaitu soal jodoh (bas) Oleh kerana sentiasa berfikir, jadilah si penumpang merasa dalam penantian... Seharusnya sebagai hamba kepada tuannya (Allah Al-khaliq), hendaklah bersikap tenang dengan menyerahkan sebulat-bulatnya pada Allah soal siapa jodohnya. Tidak perlu dirisaukan, kerana sudah janji Allah swt setiap yang bernyawa pasti akan ada bahagian rezeki, jodoh dan ajalnya. Maka segalanya serahkanlah pada Allah.. Yang pastinya, jadikan diri baik dan sempurna pada pandangan Allah. Bukankah Allah telah berjanji ; "Lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik, dan permpuan yang baik itu untuk lelaki yang baik". Maka.. usahakanlah ke arah itu..

3- Si pemandu sepatutnya perlulah memikirkan segala natijah yang bakal berlaku sebelum melakukan sebarang tindakan. Kebaikan dan keburukan hendaklah ditimbang tara mana yang lebih membawa kecenderungan. Wajarnya lelaki memiliki 9 akal dari wanita, maka seharusnya lebih matang dalam membuat sebarang tindakan. Perlu diingat, tindakan yang membawa kepada kemudharatan pada si penumpang (perempuan) bolehlah kita menglasifikasikan sebagai satu kezaliman. Dan ketahuilah 3 doa yang dikabulkan (tiada hijab) antaranya adalah doa orang-orang yang dizalimi. Apapun, bagi si penumpang, sekalipun terasa dizalimi, gunakanlah sifat penyayang yang dikurniakan Allah swt melebihi sifat penyayang si pemandu tadi dengan memaafkan segala tindakan yang dilakukan oleh si pemandu. Allah mengurniakan kepada hambanya 2 prasangka, Husnudzon (bersangka baik) dan Se’udzon (bersangka buruk), maka gunakanlah dahulu ’husnudzon’ yang Allah kurniakan kerana itulah sebaik-baik akhlak yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Mafhum hadist : "Allah bertindak mengikut apa yang hambanya fikirkan". Maka, bersangka baiklah dalam setiap apa yang berlaku sekalipun perkara itu menyakitkan dan menghimpit perasaan. Ini juga ada kaitan dengan kaifiat (cara) Allah mendidik hamba-hambaNYa. Adakalanya, Allah ingin mendidik hati dan menyucikan niat kita agar apa yang kita lakukan adalah semata-mata kerana Allah... Wallahu’alam

Cerita asal : Hamba Allah
Skrip : Hamba Allah
Edit : Hamba Allah..


Cerita di atas tiada kaitan pada sesiapa yang dikenali samaada yang masih hidup atau pun sebaliknya. Maka seandai ada yang terkene.. maafin dong.. ^_^ pepun, Pengajaran yang perlu dihayati dalam cerita ni, boleh kita sama-sama fikirkan..

Friday, August 21, 2009

Peluang ‘Naik Pangkat’

Kemuncak bulan ‘mega’ tiba lagi. Allah telah panjangkan umur kita untuk merebut peluang menggilap rohani di bulan-bulan Rejab, Syaaban dan kini Ramadan. Melangkah masuk ke bulan penuh keberkatan ini, bermulalah pengembaraan rohani kita menyusuri rahmat dan keampunan Allah. Yang kita kejar bukan nama, pangkat, kesihatan dan kemuliaan di dunia atau di sisi manusia, tapi pangkat besar dari Allah iaitu darjat takwa.

Allah berfirman, maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Kembara rohani kita menuju takwa adalah hakikatnya perjalanan hati untuk kembali kepada keadaan fitrah yang bersih.Hati yang hidup bersama turun naiknya nafas kita itu tidak akan benar-benar tenang dan tenteram selagi tidak menemui jalan untuk berbuat taat dan mengagungkan Allah. Ini sesuai dengan fitrahnya yang asal sewaktu di alam roh – sebelum ia ditempatkan di dalam jasad lahir kita dan tercorak mengikut pengaruh nafsu dan syaitan.

Ramadan adalah saat terbaik untuk mengembalikan hati kepada fitrahnya. Penghulu segala bulan ini membawa bersamanya rahmat dan keberkatan yang sangat banyak dan melimpah-ruah dari Allah. Inilah masa terbaik untuk meningkatkan amalan-amalan takwa dan mendidik serta membersihkan hati dari sifat-sifat yang bertentangan dengan fitrahnya. Peluang untuk ini terbuka luas di sepanjang bulan Ramadan terutama melalui ibadah puasa, juga ibadah-ibadah lain yang hanya terdapat di bulan Ramadan iaitu ibadah sahur dan berbuka, solat tarawih serta membayar zakat fitrah.

Di dalam bulan ini juga terdapatnya malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Kedudukan, kemuliaan dan keberkatannya menyamai seribu bulan di sisi Allah. Bertemu dengan kemuliaan malam ini dalam keadaan hati dekat dengan Allah dan diri disibukkan dengan ibadah seolah-olah mendapat ‘jalan pintas’ untuk meningkatkan kualiti diri kita di depan Allah. Tetapi peluang untuk mendapat ‘jalan pintas’ itu pun hanya akan Allah mudahkan untuk orang yang sungguh-sungguh menempuh jalan penuh berliku sebelumnya. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Kalau diri tidak dilatih dan hati tidak dipimpin untuk menghayati kebesaran malam-malam sepanjang Ramadan dengan melakukan solat, baca Quran, wirid dan zikir dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan, manakan dapat kenaikan pangkat atau ‘promotion’ dari Allah hanya dalam satu malam. Pangkat dari manusia pun tidak diperolehi dengan sebegitu mudah.

Liku-liku untuk dapat kenaikan pangkat dari Allah mesti dilalui berserta pengorbanan dan harus menempuh ujian demi ujian. Bukan dengan jalan bersedap-sedap dan bermudah-mudah.
sumber : surau.com

Thursday, August 13, 2009

~ Insan Terpilih

Aduhai hati yang selalu gundah gulana.. Mengapa perlu difikirkan kehidupan duniawimu. Sedangkan dunia itu sering menipumu. Bukankah kehidupan ini penuh dengan majazi? Tipu daya di sana sini? Maka, hendaklah engkau susun langkahmu penuh hati-hati, Ingatlah, syaitan itu sentiasa tidak mahu mengaku kalah dan tidak pernah putus asa. Setiap saat masanya adalah berharga. Tidak dibiar kosong tanpa menyesatkan adam dan hawa. Lantas, bagaimana engkau masih lagi memikirkan hal duniamu? Perbanyakkanlah berfikir, renung penuh bererti.. Bagaimana bakal kehidupanmu sewaktu mengadap Tuhan Rabbul ’Izzati..? Selamatkah dirimu di hari yang tiada pelindung melainkanNYA? Akan beratkah amal yang akan engkau bawa? Justeru, renungkanlah duhai diri yang lemah. Agar kehidupanmu di dunia sentiasa waspada.. Semoga, akan hadir dalam hatimu jiwa yang sensitif dengan dosa. Merasakan dosa itu besar sekalipun pada kesilapan sekecil zarah. Ketahuilah.. itulah antara ciri-ciri mereka yang aqrab dengan tuhanNya. Yang punya Ihsan dalam hatinya. Merasa kehadiran Allah dalam setiap sentuhan masa yang ada.. sekalipun mata tidak melihat, tetapi hati menyakini Allah MAHA MELIHAT.

Untuk apa perlu dirisaukan, aduhai hati yang rawan.. sebuah kehilangan itu hanya secebis dugaan.. dari Tuhan sekalian alam.. Hilang bukan bererti tamatnya sebuah kehidupan, tetapi dengan kehilangan itulah darjatmu ditinggikan. Hairan? Mengapa perlu dihairankan, Allah itu Maha berkuasa, zat yang sempurna penuh keagungan. Lupakah duhai hati, Allah telah berjanji dalam kalamNya Izzati.. ”Adakah kamu mengaku beriman, sedangkan kamu belum diuji?” Maka, hadapilah ujian dengan sejuta kesabaran. Percayalah, yakinlah sepenuh hatimu.. Hanyasanya Allah bersama-sama mereka yang SABAR.

Aduhai hati yang penuh kesedihan.. Mengapa perlu ditangisi sebuah perpisahan? Bukankah semua kita akan pergi.. pulang kepangkuan Tuhan. Dialah yang menjadikan.. Dan padaNya jua segalanya akan dikembalikan. Lupakah engkau, hidup di dunia ini sekadar persinggahan. Yang kekal hanyalah amalan sebagai teman. Itulah teman dalam perjalanan menuju sebuah keabadian.. Maka, janganlah engkau lalaikan hatimu dengan kehidupan yang sementara ini. Janganlah engkau tangisi lagi sebuah perpisahan sementara.. akan tetapi, hadapkanlah wajahmu sentiasa kepada Allah.. Penuhkanlah jiwa dan hatimu dengan dzikrullah memuji kebesaranNya. Juga sibukkanlah hari-harimu dengan amalan makruf nahi mungkar , mengikut sunnah kekasihNya. Yakinlah, barangsiapa yang dihatinya ada Allah, dan mengutamakan Allah atas segala apa yang dilakukannya, Allah akan seiringkan pekerjaannya dengan pertolonganNya. Bekerja keraslah engkau untuk hari esokmu yang abadi. Berbekallah dengan amalan yang menguntungkanmu di sana nanti. Ingatlah, sebaik-baik bekalan adalah TAQWA.

Duhai diri yang lemah.. Kembalikanlah hatimu kepada Rab.. Kerana DIA lah pemilik segala yang engkau ‛miliki’.. Segalanya hanya pinjaman untuk menguji. Kentalkanlah semangat juangmu. Jadilah seperti syaidatina Aisyah, putrinya Syaidina Abu Bakr.. Walau fitnah mencalar maruah, Dia tetap Aisyah! Walau rumahtangganya di landa badai anggkara si munafiq durjana, tetap teguh pendiriannya, menggunung Tawakkalnya. Pada Allah sw.t dia berdoa, mengharap furqan agar tenggelam segala nista. Insafilah duhai diri yang lemah, Allah sengaja menguji sekeping hati yang kecil.. sebagai tukaran untuk mendapatkan habuan yang lebih besar kelak. Maka bersyukurlah.. bersyukurlah.. bersyukurlah kerana engkau insan terpilih.

Wednesday, August 5, 2009

NISFU SYA"BAN

Oleh : Abd al-Razzaq bin A.Muthalib

Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:

- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar)). Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.

Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).

Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti: ((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi: ((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).
(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.

Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis.

Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah swt.

~ Kasih Nan Abadi..

Satu... kasih nan abadi
Tiada tandingi Dia yang satu

Dua... sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya ibu

Tiga... lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah

Empat... mudah kau ketemu
Perhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih

Ibu kuingat dahulu
Menyisir rambut ku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa

Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus kau renungkan


Tuesday, July 14, 2009

~ Rahsia membina rumahtangga muslim yang bahagia

Oleh : Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Pegawai Penasihat Agama UiTM Sarawak

عَن اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: تَنْكِحُ المرَأَةَ لِاَرْبَعٍ , لمِاَلهِاَ وَلحِِسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا فاَطْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنَ تَرَبَتْ يَدَاكَ (رواه الشيخان)- متفق عليه


-Maksud : “ Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri-ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya, kerana pegangan agamanya. Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). ( Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.)

Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu fitrah semulajadi dalam kehidupan manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan hidup bersama untuk memperolehi kasih sayang, ingin menjalinkan cinta yang berterusan dan ketenangan dalam hati. Namun bagi sesebuah rumahtangga muslim yang bahagia itu ianya bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadith di atas.

Bagi mereka yang merancang ingin mendirikan rumahtangga muslim yang bahagia, aspek pemilihan jodoh yang tepat adalah sangat penting. Ini kerana, perkongsian hidup yang lahir nanti akan menentukan nasib sesudah berumahtangga dan menentukan corak hidup dalam masyarakat sama ada mendapat keredhaan Allah SWT atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah SWT. Apa gunanya hidup kita, sekiranya kehidupan selepas berumahtangga menjadikan diri kita lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT.


Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah atau suami yang soleh itu? Hikmahnya ialah dengan mempunyai nilai keagamaan itulah seseorang itu dapat memiliki akhlak yang baik, menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dan saling bantu membantu dalam rangka untuk membina rumahtangga yang diredhai Allah SWT. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumahtangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Semua pasangan suami isteri mengidamkan kehidupan rumahtangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumahtangga tersebut?Adakah dengan mempunyai kekayaan dan memiliki segala-galanya, kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Berapa banyak sebenarnya kes penceraian yang berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang kononnya mempunyai kemewahan hidup semakin ketara? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya ?

Sebenarnya kebahagiaan rumahtangga yang bahagia itu telah jelas ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam sendiri. Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumahtangga iaitu membina rumahtangga itu adalah semata-mata ingin mencari keredhaan Allah SWT, bukan disebabkan faktor atau dorongan yang lain. Tetapi berapa ramai yang menjadikan matlamat hidup ini untuk mencari keredhaan Allah SWT? Di mana letaknya keberkatan dalam berumahtangga? Apakah pasangan itu sekufu dan apakah neraca yang digunapakai dalam penentuan sekufu atau tidak?

Sekufu di sisi Islam adalah sekiranya pasangan suami isteri mempunyai kefahaman Islam dan matlamat hidup yang jelas, tahu akan tanggangujawab masing-masing bahawa membina rumahtangga muslim itu adalah suatu ibadah, saling merindui rumahtangga yang dirahmati dan diberkati Allah SWT, suami isteri yang saling nasihat menasihati antara satu sama lain dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT, cuba mewujudkan suasana rumahtangga yang harmoni, suami yang memberikan didikan agama kepada isteri dan ingatlah isteri yang solehah boleh membawa suami ke syurga.Apakah rahsia membentuk rumahtangga muslim yang bahagia? Ingatlah para isteri yang dikasihi Allah SWT, antara ciri-ciri sifat isteri yang solehah itu apabila dia taat kepada Allah SWT, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dan suaminya. Selain itu, menjaga sembahyang lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Maka masuklah dia ke dalam syurga mengikut mana-mana pintu yang disukainya. Berazamlah untuk menjadi isteri yang solehah. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumahtangga itu ialah isteri yang solehah agar dapat membina keluarga sakinah.

Begitu juga, para suami yang soleh, mereka adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah agar tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami yang soleh juga akan memberikan makan, minum, pakaian, kemudahan tempat tinggal, memberikan perlindungan dan melayani isteri dengan baik. Suami juga perlu banyak bersabar, menunjukkan contoh yang baik, memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.

Namun, apa yang dibimbangi ialah janganlah disebabkan apabila seseorang selepas alam berumahtangga membuatkan dirinya semakin jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Semasa bujangnya beliau terkenal dengan kuat sembahyang sunat, puasa sunat, berzikir dan bersedekah telah berubah. Kehidupannya berubah menjadi seorang leka dan selalu menyibukkan diri dengan anak isteri, bekerja keras untuk mengumpul harta dan mengejar kemewahan semata-mata untuk keluarga. Alangkah ruginya hidup yang fana ini sekiranya apabila memasuki gerbang rumahtangga itu menjadikan dirinya semakin jauh dari Allah SWT. Titik tolak kebahagiaan rumahtangga adalah bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.